NADI - click for home

NADI - click for home
  Follow us on:    
 

NADI
username:  
 
password:  
 
[lost your password?]
 
About Us Join NADI Donate Now Get Involved Contact Us Home
 
    Home All About Diabetes » Pre-Diabetes » 
 

Adakah anda menghidap pradiabetes?

Date: 1 October 2006

Oleh Datuk Prof. Mustaffa Embong (Pakar Perunding Diabetes Institut Diabetes Negara (NADI) 

Tahukah anda bahawa anda mungkin sedang menguruskan aktiviti harian tetapi pada masa yang sama mengalami paras glukosa darah yang tinggi dan anda tidak sedar akan hal ini?

Situasi ini mungkin berlaku jika anda mengalami suatu keadaan yang dipanggil pradiabetes.

Pradiabetes seperti terjelas namanya adalah satu peringkat sebelum anda dikatakan menghidap penyakit diabetes.

Walaupun pakar-pakar perubatan masih berbahas tentang definisi terbaik untuk keadaan ini, pradiabetes boleh didefinisikan sebagai satu keadaan di mana paras glukosa darah anda lebih tinggi daripada paras normal tetapi masih tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai menghidap penyakit diabetes.

Doktor merujuk keadaan ini sebagai Gangguan Glukosa Puasa (IFG) apabila paras glukosa darah lebih tinggi dikesan semasa berpuasa atau Gangguan Toleransi Glukosa (IGT) apabila paras glukosa darah di tahap luar biasa dikesan selepas menjalani ujian glukosa yang dipanggil Ujian Toleransi Glukosa (OGTT).

Bahaya pradiabetes

Individu yang menghidap pradiabetes selalunya tidak menunjukkan gejala-gejala diabetes yang jelas seperti susut berat badan, sentiasa dahaga atau kerap membuang air kencing (urin).

Namun, walaupun anda tidak mengalami sebarang gejala diabetes tersebut, anda masih perlu mengambil tindakan serius tentang pradiabetes.

Pradiabetes adalah satu keadaan yang serius. Merujuk kepada Persatuan Diabetes Amerika, pradiabetes bermakna anda lebih berisiko tinggi untuk terkena penyakit diabetes jenis 2 berbanding dengan individu yang mempunyai paras glukosa darah yang normal dan anda juga mungkin sudah mengalami masalah-masalah kesihatan disebabkan diabetes.

Program Pencegahan Diabetes (DPP) yang telah dijalankan oleh Institut Kebangsaan Kesihatan di Amerika Syarikat melaporkan bahawa para peserta yang mempunyai pradiabetes telah didapati menghidap diabetes jenis 2 dalam kadar 11 peratus setiap tahun!

Kajian lain mencadangkan bahawa kebanyakan individu yang mengalami pradiabetes akan mempunyai penyakit diabetes jenis 2 dalam tempoh 10 tahun.

Jika anda mempunyai pradiabetes, risiko untuk anda terkena serangan jantung atau angin ahmar (strok) juga meningkat. Ini adalah kerana paras glukosa dalam darah anda yang tinggi secara berterusan akan menyebabkan kerosakan pada saluran darah besar anda.

Tekanan darah tinggi dan lipid darah yang tinggi yang biasa dihidapi oleh individu yang mengalami pradiabetes juga menyumbang kepada kerosakan saluran darah.

Pastikan sama ada anda menghidap pradiabetes.

Satu soalan untuk anda (terutamanya jika anda sudah berumur 20 tahun atau lebih): “Adakah anda tahu paras glukosa darah anda?”

Jika jawapannya “tidak”, anda haruslah menjalani satu ‘Ujian Glukosa Darah’ untuk mengetahui paras glukosa darah anda.

Ujian ini amat penting terutama jika anda mempunyai satu atau lebih faktor-faktor risiko untuk mendapat pradiabetes (sila lihat Jadual 1).

Ujian dengan mencucuk jari anda ini agak tepat dan keputusannya boleh diketahui dalam tempoh lebih kurang dua minit sahaja. Anda boleh menjalani ujian ini di klinik doktor anda atau di farmasi yang berdekatan.

Anda juga tidak perlu berpuasa semalaman tetapi jika anda baru sahaja lepas makan, anda mungkin perlu menunggu kira-kira dua jam sebelum mengambil ujian ini.

Jangan bimbang; kesakitan cucukan jarum itu hanyalah seperti gigitan semut dan akan berlalu dalam beberapa saat sahaja!

Ujian glukosa darah dengan cucukan jari ini adalah satu ujian ringkas tetapi keputusannya (sila lihat Jadual 2) boleh mengenal pasti masalah glukosa darah yang perlu dikaji dengan lebih lanjut oleh doktor anda (dengan menggunakan ujian makmal yang khas dan lebih tepat).

Menangani pradiabetes

Berita baik! Individu yang menghidapi pradiabetes dapat melindungi diri mereka daripada penyakit kardiovaskular dan juga mencegah atau melambatkan terjadinya penyakit diabetes jenis 2.

Ingatlah, pradiabetes tidak perlu terlangsung menjadi diabetes atau menjadi penyebab serangan jantung.

Asalkan anda mengamalkan gaya hidup sihat, anda mampu mengekalkan paras glukosa darah (serta tekanan darah dan lipid darah) pada tahap yang normal.

Tajuk akan datang: Kekal Sihat dan Langsing untuk Melawan Diabetes.

JADUAL 1: Adakah anda berisiko menghidap pradiebetes?

Faktor-faktor berikut boleh menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi untuk menghidap pradiabetes:

Mempunyai abang, kakak atau ibu bapa yang menghidap penyakit diabetes jenis 2.

- Mempunyai berat badan yang berlebihan (Indeks Jisim Tubuh (IJT) anda antara 25 hingga kurang dari 30 kg/m2) atau obes (IJT anda lebih daripada 30 kg/m2)

- Mempunyai tekanan darah tinggi, rendah paras kolesterol ‘baik’ (HDL-C), dan/atau paras trigliserida yang tinggi

- Gaya hidup yang tidak aktif

- Berumur 45 tahun dan lebih

- Menghidap diabetes gestasi ketika mengandung

- Melahirkan bayi yang besar (berat melebihi 4 kg).

Malangnya, pradiabetes menjadi suatu perkara yang menjadi semakin biasa dan telah di tahap yang amat membimbangkan.

Pada tahun 2000, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat menganggarkan kira-kira 40 peratus (41 juta) orang Amerika berusia 40 hingga 74 tahun menghidap pradiabetes.

Pada 2002, anggaran ini telah meningkat sebanyak 31 peratus kepada 54 juta orang.

Di Malaysia, anggaran terakhir bagi kes pradiabetes adalah 11.3 peratus. Tetapi ini adalah mengikut laporan yang dibuat pada tahun 1996.

Kita semestinya berasa bimbang kerana jumlah tersebut mungkin telah meningkat dengan mendadak setelah 10 tahun berlalu.

Oleh itu, kekalkan amalan gaya hidup yang sihat untuk mencegah terjadinya pradiabetes. Jika anda telah mengalami keadaan ini, uruslah ia dengan sempurna supaya anda akan kekal sihat.

This article was first published in Utusan Malaysia on 1 October 2006.

 


  printer Printer-friendly version   printer Send link to a friend








 
| | | |

Copyright 2009 National Diabetes Institute (NADI). All rights reserved 2009
designed & maintained: mobition